By Unknown On 21:53 | Categorized As , | With 0 comments
GEORGETOWN – Dunia memerlukan lebih ramai guru, khususnya yang berkualiti, kerana mereka merupakan faktor penting yang menarik minat kanak-kanak untuk terus bersekolah, kata pakar program ICT Dalam Pendidikan Biro Pendidikan Rantau Asia Pasifik (Unesco Bangkok) Jonghwi Park.

Beliau berkata lima juta guru diperlukan untuk memenuhi keperluan Pendidikan Rendah Universal menjelang 2015.

“Kita kekurangan lima juta (guru) bagi sekolah rendah dan menengah. Menjelang 2030, sekiranya kita tidak berbuat sesuatu mengenainya, maka jumlahnya akan meningkat sekali ganda.

“Ini adalah unjuran kami berdasarkan perubahan demografi dan sebagainya,” kata beliau.

Jonghwi berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Serantau mengenai ICT (teknologi dan komuniksi maklumat) Integrasi Dalam Pembelajaran dan Pengajaran Unesco-USM (Universiti Sains Malaysia) oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan) USM Prof Dr Adnan Hussein di sini hari ini.

Seminar tiga hari itu disertai 50 peserta dari Thailand, Vietnam, China, Filipina, Pakistan, Nepal, Sri Lanka, India, Maldives, Uzbekistan, Fiji dan Bangladesh.

Jonghwi berkata Unesco sedang memberi tumpuan terhadap urusan pergerakan guru melalui program pertukaran melibatkan negara yang mempunyai guru berlebihan.

“Kami ingin menetapkan satu kelayakan umum bagi guru untuk membolehkan pertukaran guru dilaksanakan…umpamanya ijazah dalam bidang pendidikan.

“Sekiranya anda memiliki ijazah dalam bidang pendidikan di Malaysia yang diiktiraf di negara lain, kami boleh tempatkan mereka di negara yang menghadapi masalah kekurangan guru. Unesco sedang mengusahakan perkara ini,” katanya.

Jonghwi berkata Unesco meletakkan sasaran untuk mencapai pendidikan berkualiti dan akses kepada pendidikan rendah di seluruh dunia menjelang 2015. – BERNAMA

PERINGATAN: SK Toh Paduka Raja tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Displaying 0 comments
Have Your Say

Post a Comment